PESANAN DARI HATI

Buat pembaca tersayang Wajib SOLAT DULU sebelum terus membaca!! Janganlah bagi 'saham' free kat saya ek ek ek..? Dosa yang ada pun tak tertanggung da...^_^

Monday, June 13, 2011

Setia Menanti [ dilakar daripada apa yang dipanggil realiti ]

                “ Ayah…..”
            “ Kenapa ni…?” si ayah bertanya risau.
            “ Anak Wan dah meninggal. Pukul dua tadi…”
            “ Innalillah…..” si ayah beristighfar panjang. Sayu hati mendengar suara si anak di hujung talian yang sedang cuba menyembunyikan tangisnya.
            “ Meninggal dalam perut….?” si ayah teringat seketika.
            “ A’ah….”
            “ Ayuni macam mana….?”
            “ Ayah baliklah sini cepat….”
            “ Yela…ayah gerak pergi sana ni….”
            “ Wan tunggu kat hospital…..”
******************************************************************************
            “ Macam mana dengan menantu saya doktor…?”
            “ Anak yang meninggal dalam perut belum kami keluarkan lagi. Puan Ayuni terlalu lemah jadi pihak kami perlu guna alternatif lain untuk keluarkan bayi dari dalam kandungan…” doktor wanita itu perlahan menjelaskan.
            “ Terima kasih doktor. Kami tunggu perkembangan yang selanjutnya…”
            Encik Kamal diam sejenak. Dia bergerak mendekati anak lelakinya Izwan yang duduk diam di kerusi itu. Isterinya, Mariam setia di sisi anak lelaki mereka.
            “ Mak bapak Ayuni dah tahu belum…?” Encik Kamal bertanya sekilas. Memaut perlahan bahu anaknya yang masih sebak.
            “ Dia…diorang dah datang tadi tapi mana entah. Mungkin ke surau….” Izwan melilau mencari kelibat kedua orang mertuanya. Lantas menyimpul sendiri.
            “ Kau sabarlah….doa banyak-banyak….” hanya itu yang mampu Encik Kamal tiupkan buat anaknya yang baru enam bulan lalu mendirikan rumahtangga.
            Izwan menangguk perlahan nasihat yang bagaikan angin lalu menyapa telinganya.
******************************************************************************
            Izwan memandang sebak isterinya dari luar bilik rawatan. Mata itu kelihatan bergerak perlahan-lahan. Lantas Izwan masuk mendekati isterinya..
            “ Yuni….” perlahan nama isterinya dipanggil.
“ Abang…..” gerakan bibir Ayuni masih boleh dibaca. Izwan menyium lama dahi isterinya. Hatinya sakit melihat penderitaan si isteri. Izwan tahu yang Ayuni masih belum dikhabarkan tentang pemergian anak di dalam kadungannya yang sudah menjangkau usia lima bulan. Izwan sendiri meminta sedikit masa dan ruang diberikan untuk dia memberitahu kerana Izwan takut isterinya masih belum bersedia.
“ Perut sakit…..” Ayuni menekan perlahan bahagian tertentu diperutnya.
“ Sabar sayang…..” genggaman tanganya masih erat di jemari isteri yang dirasakan semakin sejuk. Teringat dia rentetan peristiwa demi peristiwa yang terlalu pantas terjadi dalam hidup mereka berdua.
******************************************************************************
            “ Sayang taknak makan ke…?”
            “ Tak ada seleralah….”
            “ Itu bibir dah biru. Lemah macam ni takkan tanak makan..? Makan sikit ye…?” Izwan memujuk lembut. Ayuni hanya mengangguk menurut permintaan suaminya.
            “ Sayang demam lagi ke…?” Izwan meletakkan telapak tangannya ke atas dahi si isteri. Sejak Ayuni disahkan hamil, kesihatan isterinya tidak menentu. Berulang kali dia menjadi pemandu isterinya ke klinik-klinik swasta untuk mendapatkan rawatan namun masih tiada sebarang perubahan dilihat.
            “ Rasa pening lagi. Kepala berat….” Ayuni mengadu.
            “ Kak Yong….” Izwan menoleh melihat ibu mertuanya di muka pintu menatang semangkuk bubur.
            “ Masuk bu….” Izwan menyahut dari dalam.
            “ Makan Kak Yong eh. Ibu masak bubur….” Puan Rafidah meletakkan dulang di sisi katil.
            “ Ibu, biar Wan yang suap Yuni. Nanti lepas makan Wan nak bawak dia pergi klinik. Doktor nak tambah darah semalam…”
            “ Wan…bawak Kak Yong pergi hospital ajelah. Dah teruk sangat ibu tengok. Mana tahu ada benda lagi serius…kita tak tahu..” Puan Rafidah menyuarakan pendapatnya.
            “ Takpelah ibu…Kak Yong sihat lagi. Biasalah Kak Yong pregnant ni kan memang selalu kurang darah. Nanti lepas doktor tambah darah ok la…” Ayuni perlahan menolak.
            “ Asyik kurang darah aje. Kan Kak Yong dah makan semua apa tu…..kerang lah, bayam..hati…bagi nak tambah darah. Tapi ibu tengok sama je. Pergilah sayang ye….? Kak Yong tak sayang ibu? Ni Wan…Kak Yong tak kesian…? Ibu tengok dia setiap hari jaga Kak Yong. Kesian Wan…pergi sayang ye…?” Ayuni memandang sekilas wajah suaminya yang sudah menunduk. Akhirnya anggukan perlahan kepalanya melegakan hati Puan Rafidah dan Izwan.
******************************************************************************
            “ Denggi berdarah….??” doktor wanita itu mengangguk perlahan.
            Izwan terkejut. Sungguh dia tidak menyangka rupanya Ayuni sedang dijangkiti sejenis penyakit yang cukup merbahaya.
            “ Puan Ayuni dah lama ke demam….?”
            “ Dah lama juga. Tapi sejak pregnant, memang dia kerap keluar masuk hospital. Dia kurang darah dan saya ingat cuma itu penyebab dia selalu lemah-lemah badan dan selalu demam…” Izwan sugul dengan kenyataan yang lewat diketahui itu. Kunjungan kerap mereka ke klinik-klinik swasta tanpa sebarang pemeriksaan darah rupanya hanya sia-sia kerana hanya dengan pemeriksaan darah, penyakit sebenar Ayuni dapat diketahui.
            “ Sedikt sulit untuk kami berikan sebarang rawatan kerana Puan Ayuni sedang mengandung…” Izwan mendengar teliti penjelasan doktot di depannya.
            “ Kerana rawatan sememangnya akan memberikan kesan kepada bayi di dalam kandungannya…” Izwan memejamkan matanya rapat sambil mendengar bait-bait bicara doktor tersebut. Takut namun dia terpaksa menghadapinya!
            “ Abang…..” Izwan tersedar daripada lamunan apabila Ayuni memanggilnya lembut.
            “ Ye sayang….?”
            “ Nak air……”
            “ Sekejap ye…..” Izwan berdiri memenuhi permintaan isterinya dan setelah Ayuni tidur semula, Izwan melangkah ke surau berhampiran. Dirinya perlu ditenangkan.
******************************************************************************
            Di surau, Izwan duduk perlahan. Mengingati perkenalannya dengan seorang wanita bernama Ayuni di zaman universiti. Ayuni ketika itu adalah juniornya. Ayuni wanita yang tertib peribadinya. Ayuni wanita yang patuh pada ibu bapanya. Ayuni wanita yang lembut bicaranya. Ayuni wanita yang teguh ajaran agamanya. Dan kerana itulah hatinya cukup tertarik dengan Ayuni.
            Meskipun istilah dating mereka adalah ditemani adik-adik Ayuni. Meskipun istilah percintaan mereka tiada tepuk tampar dan gurauan mesra. Meskipun ikatan pertunangan yang terjalin belum menjanjikan pertemuan yang kerap….Izwan tidak kisah. Meskipun ibu mertuanya dulu cukup tegas menjaga pergaulan mereka berdua namun itu bukan masalah bagi Izwan. Kerana yang dicari adalah seorang isteri….bukan sekadar seorang teman wanita atau kekasih.
            “ Ibu tak bagilah….” alasan yang kerap kali diutarakan Ayuni sewaktu di ajak keluar langsung tidak menjadi kudis. Izwan masih ingat sewaktu dia sah menjadi tunangan Ayuni. Ibu mertuanya hanya membenarkan dia membawa Ayuni ke rumah untuk makan bersama kedua orang tuanya sahaja. Untuk ke pelbagai acara keluarga yang lain seperti kenduri atau ke majlis perkahwinan adiknya sekalipun….jawapan ibu pada ketika itu tetap tidak! Didikan ibu yang tegas sebenarnya cukup dia kagumi. Kerana cara didikan sebegitulah Ayuni terbentuk menjadi seorang wanita yang pasti menjadi pilihan ibu-ibu mertua.
            Izwan tersenyum sendirian mengingat semua itu..
            Kini usia perkahwinannya baru menjangkau enam bulan. Namun satu kata yang mampu menggambarkan ikatan perkahwinannya yang masih mentah ini adalah bahagia! Izwan cukup bahagia mempunyai Ayuni sebagai isteri. Yang menjadi pelengkap hidupnya. Segala kekurangan yang ada padanya diterima Ayuni dengan hati terbuka. Izwan sedar dia lelaki yang kurang menitikberatkan soal agama. Namun itu berubah selepas Ayuni menjadi isterinya.
            Izwan juga bersyukur saat Ayuni bersedia tinggal bersama kedua ibu bapanya. Walaupun adik beradiknya ramai namun mereka semua sudah mempunyai kehidupan dan kerjaya masing-masing. Keinginan Izwan untuk tetap tinggal dan menjaga kedua orang tuanya diterima Ayuni dengan hati terbuka. Membuatkan Izwan sangat menyayangi peribadi isterinya itu.
            Azan Asar yang berkumandang menyedarkan Izwan. Pantas kakinya mengambil wudu’….ingin terus berdoa buat isterinya yang tersayang.
******************************************************************************
            Izwan menanti diluar bilik rawatan dengan penuh debar. Dia pulang sebentar apabila isterinya masih dibawah pemeriksaan doktor. Namun panggilan yang diterima di tengah pagi itu cukup merisaukan. Doktor memberitahu anak yang disahkan sudah meninggal di dalam perut sejak semalam akan dikeluarkan. Pintu bilik rawatan yang tiba-tiba terbuka dipandang gelabah..
            “ Macam mana doktor..?”
            “ Alhamdulillah kami selamat mengeluarkan bayi Puan Ayuni. Anak Encik Izwan dan Puan Ayuni perempuan. Dan dia dah cukup sifat…” Izwan mengalirkan air mata perlahan. Buah cinta yang mereka nanti sedikit masa lagi akan melihat dunia lebih disayangi ALLAH. Izwan redha andai itu yang tertulis. Dia tahu ALLAH sebaik-baik perancang.
            “ Isteri saya…..?”
            “ Berlaku pendarahan yang sangat teruk. Darah tak henti mengalir sejak bayi dikeluarkan. Hati dan buah pinggang Puan Ayuni berhenti berfungsi seketika. Tapi Alhamdulillah…persediaan kami sebelum proses mengeluarkan bayi tadi sedikit sebanyak membantu Puan Ayuni apabila keadaannya tiba-tiba down….” Izwan bagaikan ingin jatuh ketika itu juga.
            Sunggu besar ujian ALLAH ini. Ayuni seorang isteri yang cukup baik. Dia belum bersedia ingin kehilangan Ayuni.
            ALLAH….
******************************************************************************
            Sejak bayi selamat dikeluarkan daripada kandungannya, Ayuni masih belum sedarkan diri. Dia masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di bawah pemeriksaan rapi doktor pakar.
            Izwan terduduk di atas lantai. Sanak saudara sudah ramai datang menziarahi. Namun mereka masih tidak boleh melawat Ayuni di ICU. Mereka tidak dibenarkan untuk melihat sama sekali. Hanya waktu-waktu tertentu sahaja mereka dibenarkan masuk dan itupun secara berdua-dua.
            Anak perempuannya sudah selamat dikebumikan atas bantuan seluruh ahli keluarga yang ada. Izwan sedari tadi tetap menjadi penunggu Ayuni. Dia tidak mahu berada jauh daripada isterinya meskipun Ayuni masih belum sedarkan diri.
            “ Puan Ayuni adalah pembawa talasemia. Encik Izwan tahu…..?” Izwan hanya mengangguk perlahan sewaktu doktor menanyakan hal tersebut.
            “ Okay…jadi saya nak beritahu. Tiga perkara ini iaitu pembawa talasemia, penghidap denggi berdarah dan pendarahan yang teruk akibat proses mengeluarkan bayi tadi membuatkan keadaan Puan Ayuni  sangat down. Peluangnya hanya 50-50…..” sesak dada Izwan mendengar bicara doktor wanita tersebut. Gelap seketika dunianya. Air mata tidak henti mengalir dari tadi..
            “ Kami akan melakukan beberapa rawatan. Dari segi tekanan darahnya…pengepaman darahnya….semua akan kami pantau dengan mesin. Kami akan tebuk sedikit lehernya. Pernafasannya kini pun hanya melalui mulut dengan bantuan tiub. Kami akan berikan dia ubat pelali dan dia tidak akan sedarkan diri buat sementara waktu. Jadi kita kena sama-sama doakan keselamatan Puan Ayuni…” Izwan hanya mengangguk perlahan. Tiada kata mampu diucap…
******************************************************************************
            Puan Rafidah melihat Ayuni membuka matanya perlahan. Anaknya itu tidak mampu bersuara apatah lagi bergerak. Puan Rafidah sangat sayu. Bagaikan baru semalan Ayuni memberitahu tentang kehamilannya namun kini sekelip mata semua itu ditarik ALLAH. Sekelip mata juga anak perempuannya yang sulung ini hanya terbaring lesu di atas katil. Puan Rafidah mengucap panjang…
“ Kak Yong….baby Kak Yong dah takde sayang…..” Puan Rafidah berbisik perlahan di telinga anaknya. Puan Rafidah lihat air mata perlahan-lahan mengalir di pipi Ayuni. Meskipun tidak ketara tapi Puan Rafidah tahu anaknya begitu terpukul.
“ Sabar banyak-banyak sayang…ingat ALLAH. Ingat ALLAH sayang….” Hanya itu yang mampu Puan Rafidah katakan.
“ Tadi siang baby Kak Yong dah selamat dikebumikan….” dan Puan Rafidah lihat masih laju air mata yang menaglir di pipi Ayuni yang sedang koma itu.
******************************************************************************
Dari jauh Iqbal lihat perkarangan ruang ICU itu dipenuhi wajah-wajah yang cukup dikenali. Semuanya adalah ahli keluarga sahabat baiknya Izwan. Iqbal mencari-cari wajah sahabatnya. Dan akhirnya dia melihat Izwan sedang duduk di atas lantai..
“ Bro….okay tak semua…?” Iqbal mencangkung di tepi Izwan menepuk lembut belakang badan sahabatnya. Sengaja juga wajahnya dimaniskan dengan senyuman kerana dia menyangkakan semua sudah kembali terkawal.
Tiba-tiba Iqbal menggelabah apabila Izwan menangis tersedu-sedan dihadapnnya. Iqbal memandang sekeliling cuak. Mata-mata yang ada di situ cukup sayu….sayu melihat Izwan yang sedari tadi hanya menangis duduk di atas lantai..
“ Aku takut Iq… aku takut….” Iqbal menelan air liur.
“ Ayuni tak sedar lagi. Tadi doktor cakap keadaan dia teruk. Aku takut dia tinggalkan aku. Aku sayang dia Iq……” Izwan terus menangis. Dia sudah tidak kisah dengan seluruh ahli keluarga yang menjadi saksi perjalanan hidupnya yang kini sedang kelam..
“ Sabar banyak-banyak Wan. Kau doa banyak-banyak jangan putus….insyaALLAH dia selamat. Kau kena kuat Wan. Kena tabah. Ini semua dugaan dan ujian ALLAH…..” Iqbal duduk di sisi Izwan. Memeluk sahabatnya erat daripada belakang.
“ Aku takut Iq. Aku tak kuat…..”
“ Istighfar banyak-banyak Wan……” Iqbal menggosok-gosok lembut bahu sahabatnya.
“ Aku nak pergi surau sekejap. Kau teman aku…?” Iqbal mengangguk perlahan dan langkah Izwan yang perlahan diikuti daripada belakang…
******************************************************************************
            “ Wan…banyakkan bersabar. Tadi Mak Lang jumpa doktor. Sekarang ni cuma ada dua perkara untuk Kak Yong. Pertama kekuatan Kak Yong untuk melawan keadaan dia sekarang…bangkit….terus bangun tapi dengan seribu satu kepayahan yang mendatang. Untuk dia berdepan dengan kehilangan anak dia dan untuk dia pulih. Kedua sama ada kita mengikhlaskan segalanya. Andai ditakdirkan Kak Yong pergi…dia syahid Wan. Syahid kecil meninggal kerana melahirkan anak. Tak semua orang dapat peluang ni Wan. Syurga untuk yang syahid Wan…syurga…kita doakan dia ye Wan…? Sabar banyak-banyak…..” Izwan mendengar bait bicara salah seorang ibu saudara isterinya dengan rasa yang sukar untuk ditafsirkan. Semuanya bercampur menjadi satu…

__________________________________________________________________________________

Dari hati : Tiada penghujungnya kisah ini krn ia adalah kisah benar. Saat aku postkan cerpen pendek ini di sini....kami sekeluarga masih terus berdoa agar Ayuni sedar dari koma dan terus bangkit. Kebanyakan scene yang aku rangkai daripada apa yang aku lihat dan dengar di depan mata! Aku berdoa semoga ada keajaiban yang berlaku. ALLAH MAHA KAYA. Ilmu manusia tidak sebanding ilmu ALLAH. Aku cuma berharap Wan ( my real dear cousin) diberi kekuatan...diteguhkan iman. Aku mohon untuk setiap yang sudi membaca...titipkanlah doa buat Ayuni...sungguh aku mohon. Moga doa kita semua akan didengar ALLAH...Amin...InsyaALLAH!

Buat Ayuni....keluarga besar kita semua akan terus dan tetap setia menanti....

5 comments:

Anonymous said...

semoga ayuni cepat sedar..harap wan n family tabah dgn ujian ini..amin

Nadzipah said...

Semoga Kak Ayuni cepat sedar, kembali sihat seperti sebelumnya..Insya-ALLAH..syafakillah...

Semoga Kak Ayuni sekeluarga dan suami tabah dan sabar menghadapi ujian ini.

MaY_LiN said...

takziah sis..
memang pengidap thalesemia akan teruk once die peggy kan..?
semoga sume famili kuat tuk tempuh dugaan

Anonymous said...

semoga ayuni cpat smbuh...ape pon didoakan wan dan awak sekeluarga tabah. semua dugaan dan ujian adalah tnda kasih syg ALLAH pada kita hambaNYA. setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. have faith. ALLAH is with you...=)

sue said...

Saya mendoakan semoga Ayuni cepat sedar... Wan tolong beri semangat pada Ayuni... x semua kaum adam tu tabah.. Tapi untuk ni TABAHLAH WAN ....

Post a Comment